“Orang sekeliling aku semuanya TOKSIK!”. Kita sering mendengar ungkapan orang toksik tapi sebenarnya siapa orang toksik atau beracun? Jom kita kenali ciri-ciri orang yang toksik. 

Kita boleh kenali mereka ini sering mementingkan diri sendiri hanya mahu dirinya dipeduli, luahannya didengari dan difahami. Mereka akan hilang bila diperlukan tetapi apabila dilanda masalah, dunia seolah-olah perlu menumpukan sepenuhnya kepada masalah yang dihadapinya.  

Jika dilanda stres atau tekanan, mereka cenderung untuk melampiaskannya pada orang lain. Emosi yang sering tidak stabil hingga bawa derita, kesannya mereka tonjolkan pelbagai ragam yang merimaskan dan cepat marah. Begitu juga orang toksik ini sering menyalahkan orang lain dalam setiap perkara.

Sebenarnya banyak lagi ciri-ciri yang kita boleh lihat apabila berada dalam circle orang yang toksik. Buku Tak Suka, Aku Swipe karangan Azura Zamri ini mengetengahkan perihal orang beracun ini supaya kita tidak terus berada di samping orang yang menyakitkan mental dan fizikal kita.

Apabila membaca buku ini dapat menyedarkan tentang pelbagai jenis orang sekeliling kita dan sekaligus kita boleh memeriksa diri sendiri supaya tidak mempunyai ciri-ciri orang toksik yang akan memudaratkan orang lain. 

Menariknya, buku ini mempunyai ilustrasi dan gambar yang menarik, bersesuaian dengan isi yang dimuatkan di dalamnya. Penulis juga memasukkan kata-kata yang indah dan puitis ditambah dengan pertanyaan dan perbualan bangsa toksik di dalam pelbagai situasi seperti situasi selepas berkahwin, situasi semasa bujang, situasi ketika berjumpa dan lain-lain.

Jika anda mengalami atau berada dalam persekitaran yang beracun, anda perlu segera mengambil langkah untuk menghadapi orang sebegini. Jangan melayan dan batasi interaksi dengan mereka. Elakkan daripada perbualan yang boleh memberi efek mood negatif dalam diri, kecilkan circle dan berkawan dengan orang yang positif. Semua ini untuk kesihatan mental kita juga. 

Cuba untuk tidak menjadi perosak mental dan hati orang lain baik dalam hubungan persahabatan, percintaan atau keluarga. Bersedia untuk pentingkan diri sendiri. Jangan jadi sentimental pada orang-orang toksik.