Buku Kiamat Hampir Tiba yang ditulis oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam ini merupakan buku yang menerangkan tentang tanda-tanda kecil dan besar hari kiamat. 

Buku ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu pada bahagian pertama menjelaskan tentang tanda-tanda kecil kiamat seperti mana yang diriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW di dalam hadis. 42 hadis dimuatkan dalam bahagian pertama yang menceritakan tentang tanda kecil hari kiamat. Manakala bahagian kedua, penulis menerangkan 10 tanda-tanda besar kiamat dengan memperincikan kepada 3 bab: peristiwa-peristiwa yang terjadi sebelum kemunculan Dajjal, kemunculan Dajjal dan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi setelah pembunuhan Dajjal sehingga terjadinya hari kiamat. 

Sedar tak sedar, sebenarnya kita semakin menghampiri kiamat. Tanda-tanda kecil yang dijanjikan telah banyak yang terjadi. Antaranya, alat-alat muzik menjadi kebanggaan, ramai perempuan daripada lelaki dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, hari kiamat yang sebenarnya masih menjadi rahsia Allah. Penulis mengajak untuk selalu bermuhasabah dan membuat penelitian terhadap diri kita sendiri agar meningkatkan amalan dan berpegang teguh dengan akidah Islam yang sebenarnya. 

Setiap bahagian dan bab yang dibincangkan dalam buku ini saling berkaitan dan memudahkan pembaca memahami isi kandungan yang disampaikan oleh buku ini. Setiap perkara yang diutarakan oleh penulis juga turut dijelaskan merujuk sumber al-Quran, hadis dan pakar. Selain itu, pelbagai sumber rujukan turut disertakan bagi menguatkan dan mengukuhkan lagi isi perbincangannya. Penulis juga menghuraikan ayat al-Quran dan hadis dengan terperinci dan mudah difahami oleh pembaca yang ditambah gambar-gambar berkaitan dengan isu perbincangan.

Secara keseluruhannya, buku ini sangat sesuai dibaca oleh seisi keluarga kerana penulis menyediakan informasi dan maklumat yang lengkap mengenai kiamat dan tanda-tandanya.