'Pengajian Akbar' adalah modul pengajian yang dirintis oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam dalam memasyarakatkan kitab turats hingga orang awam berpeluang belajar kitab secara talaqqi dan bersanad sampai khatam serta dapat pula ijazah tanpa perlu menjadi pelajar di mana-mana pondok pengajian.

Lebih 300 orang hadir dalam Pengajian Akbar pertama yang diadakan di Banjarbaru, Kalimantan Selatan pada Disember 2012. Kitab yang dikhatamkan ialah Hidayatus Salikin. Oleh kerana Syeikh Ahmad Fahmi juga berhasrat mengeratkan silaturrahim di kalangan jemaah pengajian di Nusantara melalui pengajian seumpama ini, beliau kemudiannya memimpin pengajian akbar di beberapa lokasi lain di Nusantara iaitu di Narathiwat, Selatan Thai pada Mei 2013, di Palembang pada Disember 2013 dan di Banda Acheh pada Disember 2014.

Dan sebagai penutup bagi siri Pengajian Akbar ini, beliau akan memimpin Pengajian Akbar Kitab Bustanul Ariffin di Banjarbaru dan Pengajian Akbar Kitab Ayyuhal Walad di Samarinda, Kalimantan Timur pada Disember 2015.

Manakala di Malaysia sendiri, pengajian akbar telah diadakan di beberapa lokasi dan yang terbesar di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Jun 2014 yang dihadiri 1,000 orang. Dan yang terdekat, Pengajian Akbar Kitab Hidayatus Salikin akan diadakan di Johor Bahru dari 28 hingga 31 Ogos, insya-Allah.

Ribuan orang telah khatam pengajian ekspres melalui majlis-majlis ilmu berskala besar ini. Ia tidaklah menjamin jadi alim kerana belajar dalam waktu yang singkat, namun ia satu inisiatif untuk mendekatkan masyarakat awam dengan kitab turats warisan ulama silam melalui pengajian secara talaqqi dan bersanad.

Dengan kata lain, pengajian cara ini dapat mempopularkan semula kitab turats yang sangat bermanfaat. Sekaligus mempopularkan semula pengajian secara talaqqi dan bersanad.

Syeikh Ahmad Fahmi pernah berpesan:

"Adab si alim mesti beramal dengan ilmunya. Berterusan mengajak orang di sekitarnya agar menzahirkan iman dengan melaksanakan ibadah secara berilmu serta disandarkan (bersanad) kepada ijmak ulama. Ulama suuk atau ulama yang hatinya terpaut pada dunia kelihatan bersenang-lenang di dunia. Barangkali populariti si ulama mengatasi ilmu yang dimiliki. Dijaja di sana-sini isu-isu khilaffiyyah atau furu’iyyah yang telah lama diselesaikan oleh para ulama terdahulu. Pandangan ulama dunia dilihat selari dengan perjuangan para pejuang liberalisasi agama. Segala-galanya dilihat dan dikatakan mudah tanpa perlu mengikuti medium Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan sistem talaqqi dan metodologi ijmak ulama."

#imbasemula
#hidayatussalikin
#daurahakbar

-------------
Nantikan Daurah Akbar Online Kitab Hidayatus Salikin pada Julai 2021 akan datang. Pengajian kali ini akan dibimbing oleh Ustaz Muhadir Hj Joll atas keizinan Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam. Insya-Allah secara online.  Pendaftaran akan dibuka sedikit masa lagi. Pastikan anda menjadi orang pertama yang mendapat info dengan klik sertai telegram Ustaz Muhadir Hj Joll, >>https://t.me/ustazmuhadirofficial