-1140x400w.png)
“Sebagaimana dengan melihat pokok-pokok yang menghijau akan memberi ketenangan kepada hati dan membawa ketenteraman pada jiwa, begitulah juga hati dan jiwa akan menjadi tenteram, bahagia dan tenang ketika melihat, membaca atau mendengar akhlak dan peribadi agung yang dimiliki oleh Rasulullah SAW.”
Sebuah buku tulisan Ustaz Muhadir Haji Joll yang memuatkan sirah hidup Rasulullah SAW. Ia bukan hanya memaparkan fakta dan sejarah, tetapi juga memuatkan kisah-kisah atau dialog-dialog yang berkaitan dengan peristiwa-peristiwa yang ada kaitan dengan kehidupan Nabi sebagai ibrah dan penyegar minda. Ia akan lebih mendekatkan pembaca dengan suasana sebenar pada zaman Baginda.
Alangkah indahnya jika dapat bertemu Nabi Muhammad. Akhlak dan sifat nabi sangat menawan dan membuatkan kita kagum dengan ketabahannya menyampaikan ajaran Islam. Kemuliaan dan hikmah Rasulullah banyak diceritakan sejak baginda lahir sehinggalah wafat, malah kedatangannya umpama cahaya hidayah yang akan menjadi rahmat kepada sekalian alam dan menghapuskan kegelapan kejahilan.
Buku ini terbahagi kepada dua bab utama. Bab pertama membicarakan tentang keturunan, nama dan ahli keluarga Nabi Muhammad. Manakala, bab kedua membicarakan kronologi perjalanan hidup Nabi Muhammad mengikut tahun dan umur. Penulis menyusun buku dengan kemas dan berturutan sehingga mudah difahami oleh pembaca. Selain tulisannya yang jelas, penulis juga menggunakan footnote bagi perkataan yang memerlukan keterangan yang lebih jelas.
Foto-foto eksklusif yang berkaitan dengan perjalanan hidup nabi SAW seperti Gua Hira’ tempat Nabi Muhammad SAW bertahannuts, gambar Masjidil Haram, Masjidil Aqsa dan Masjid Al-Bai’ah di Mina dimasukkan di dalam buku ini yang akan memberikan gambaran yang jelas kepada kita. Naskah ini sangat sesuai untuk mereka yang ingin mengenali serta mencintai peribadi sempurna Rasulullah.
1 Comment(s)
Good
Leave a Comment