Rasulullah SAW bersabda, “Semua keturunan Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah orang yang bertaubat.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

Taubat bererti kita kembali kepada Allah SWT dengan meninggalkan segala dosa yang telah kita lakukan. Setiap daripada kita adalah pendosa, malahan tanpa mengira masa, kita terus melakukan dosa tidak kira dosa kecil atau besar. Justeru, kita perlu terus bertaubat kepada Allah SWT saat melakukan dosa. Sebaik-baik taubat itu ialah Taubat Nasuha di mana kita perlu menjauhi, menyesal dan berazam untuk tidak mengulangi lagi dosa dan maksiat yang dilakukan.

Sesungguhnya kasih sayang Allah SWT itu melebihi kermukaan-Nya, Allah SWT menyuruh hamba-hambanya untuk sentiasa memohon keampunan kerana Dialah, Maha Penerima Taubat. Selagi kita benar-benar menyatakan dan merasakan taubat, selagi itulah Allah SWT akan terus melimpakan kita dengan rahmat-Nya.

 

HIDUP ADALAH UNTUK DIUJI

Setiap kehidupan orang yang beriman di dunia ini akan diuji dengan suka, duka, tawa dan tangis. Adakalanya kita jatuh tersungkur, ada pula saat kita akan mendongak ke langit. Tiap detik perlakuan kita di atas bumi ini, Allah SWT akan menentukan sama ada kita beriman ataupun pendusta.

Orang yang beriman dan berjaya menghadapi ujian Allah SWT dilihat dalam amalan harian yang berpaksikan penyembahan dan amal ibadat kepada Allah SWT. Ada juga golongan yang melaksanakan ibadah namun penuh dengan sifat mazmumah.

Kita tahu kita melakukan dosa dan masih melakukan dosa, misalnya dalam topik menutup aurat. Saat kita di Tanah Suci Mekah, kita mampu memakai stokin, memakai sarung lengan, pakaian yang tidak ketat namun sayangnya apabila keluar sahaja daripada kawasan tersebut, kita terus menjadi diri kita yang asal. Astagfirullahalazim! Semoga Allah SWT menerima taubat kita.

 

PENDOSA INGIN KE SYURGA

Setiap pendosa ingin ke syurga, jalan ke syurga ialah taubat. Jangan menangguhkan taubat, ajal juga sedang menanti. Saat hati gelisah, itulah tandanya Allah SWT sudah mengetuk pintu hati kita untuk tunduk kembali kepada-Nya. Bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh, bersujudlah dan luahkan segalanya kepada Dia yang Maha Mendengar. Sesungguhnya, pintu keampunan Allah SWT sentiasa terbuka untuk setiap hamba-Nya. Oleh itu, ayuh! Kita segera bertaubat demi mencapai keredaan Allah SWT di dalam hidup.

--------------------

Artikel ini dipetik dan olahan daripada buku Bersyukur Saat Diuji, tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim. Klik sini >» LIHAT BUKU