Apabila melihat tajuk buku ini saya tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan ‘klinik diet’. Namun selepas membacanya, buku ini sangat seronok dan menarik untuk dikongsikan. Buku Cerita Klinik Diet ditulis oleh Ruqayyah Muhd merupakan buku yang diilhamkan daripada pengalaman penulis sendiri yang bekerja sebagai dietitian di sebuah hospital tanah air. Buku ini mengandungi 39 cerita merangkumi cerita-cerita sepanjang merawat pesakit dan pelbagai jenis penyakit yang dikendalikan. Kisah-kisah yang diceritakan sangat menyentuh hati dan menginsafkan.

‘Saat Dia tarik satu nikmat, Dia didik aku untuk bersyukur’.

Setiap orang pasti diuji dengan sesuatu yang mereka mampu. Penulis banyak menekankan supaya bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Kita tidak akan menghargai sesuatu nikmat sehinggalah kita diuji dengan sesuatu yang menyakitkan.

‘Nikmat makan yang sering dilupakan’. Antara cerita yang sangat aneh saya dengar iaitu orang yang mengalami penyakit ketiadaan air liur. Secara umumnya, semua manusia dikurniakan air liur tapi bagi pesakit tersebut tiada air liur kerana kesan radioterapi yang dijalankan. Allahuakbar. Bayangkan air liur yang tidak pernah kita syukuri keberadaannya tetapi sebenarnya merupakan benda yang sangat penting untuk kita makan. Ketiadaan air liur menyebabkan kita susah untuk makan dan tidak dapat merasa makanan kerana air liur berfungsi untuk menghadaman makanan dan melindungi mulut kita daripada kering. Demikianlah apabila kita mendengar kisah mereka yang lebih susah daripada kita dapat mengajar kita erti syukur dengan sekecil-kecil perkara.

Menariknya, penulis juga mendedahkan banyak tips sihat dan diet bagi masalah kesihatan tertentu. Antaranya, tip bagi mengelak masalah sembelit, diet neutropenik, diet bagi pesakit buah pinggang dan sindrom Nefrotik dan lain-lain. Bagi masalah sembelit, penulis menyarankan memperbanyakkan pengambilan makanan tinggi serat sama ada dari legum, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran serta memastikan pengambilan air mencukupi keperluan tubuh setiap hari.

Buku setebal 216 halaman ini merupakan sebuah buku yang cukup menarik dan sesuai dibaca oleh golongan remaja mahupun dewasa. Isi kandungan di dalam buku ini ditulis secara bersahaja dan senang untuk difahami oleh para pembaca. Penulis mengajak dan mendorong pembaca untuk refleksi diri dengan situasi orang di sekeliling kita yang kurang bernasib baik daripada kita. 

Buku ini banyak memaparkan gambar rajah cantik dan kreatif  yang akan membuatkan kita lebih tertarik untuk membaca. Pada permulaan beberapa bab juga ada dikongsikan potongan doa yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Surah-surah dalam al-Quran juga disertakan bagi menyokong idea yang diutarakan. 

Secara keseluruhannya, kandungan buku ini menyelitkan contoh-contoh yang sememangnya berlaku dalam kehidupan seharian dengan tip-tip kesihatan yang praktikal dan dekat di hati pembaca.