Setiap daripada kita yang berpayungkan Allah SWT sebagai Tuhan yang Esa dan mengakui Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah SWT, wajib melaksanakan tuntutan solat.

Solat merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada hamba-Nya tidak kira Muslim atau pun Mukmin. Saat azan dilaungkan, berderap langkah-langkah kaki menuju untuk menyahut panggilan Ya Rahman. Namun, adakah kita pernah terfikir adakah sujud yang kita lakukan lima kali sehari semalam itu diterima oleh Dia?

Tepuk dada, tanyalah Iman. Adakah anda seorang Muslim ataupun Mukmin? Mari kita lihat, apakah perbezaan Muslim dan Mukmin? Bukankah setiap daripada kita sama sahaja?

Benar, kita kelihatan sama tetapi yang membezakan kita ialah, segumpal daging yang dipanggil hati. Seorang Muslim merasakan keislamannya hanya melalui lisan atau warisan tetapi tidak dalam sanubarinya manakala seorang Mukmin pula amat kukuh keyakinan dalam dadanya terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya.

Seorang Muslim melaksanakan segala amalan hanya kerana ianya ialah kewajipan. Seorang Muslim tidak mendapatkan jaminan bahawa dirinya akan selamat daripada azab neraka kerana dia masih melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT malahan kadang kala dia melakukan amalan tanpa niat yang jelas, penuh keraguan dan hanya inginkan pujian dunia.

Seorang Mukmin pula sangat takutkan Allah SWT. Dia percaya yang Allah SWT, Ya Basir, Maha Melihat dan Ya ‘Alim, Maha Mengetahui atas setiap perbuatan, tutur kata dan lintasan niat di dalam hatinya. Dia akan segera bertaubat jika melakukan dosa.

Apakah yang menjadikan solat kedua-kedua golongan ini berbeza? Bukankah mereka sama-sama melaksanakan solat?

Ya, tidak dinafikan kedua-dua golongan ini rukuk kepada Allah SWT namun yang membezakan mereka ialah bagaimana sikap mereka terhadap anjuran solat yang diperintahkan. Adakah mereka cuai dalam melaksanakan ibadah solat atau pun mereka bersusah payah dan sentiasa berusaha memperbaikinya? 

Sikap seorang Muslim dan Mukim terhadap solat dapat dilihat dalam caranya meraikan masuknya waktu solat. Respons terhadap seruan itulah yang dapat menunjukkan adakah anda seorang Muslim atau Mukmin. 

Seorang Muslim akan bersikap sambil lewa dan tidak mementingkan masa solatnya. Meskipun dia solat di hujung waktu, solat dengan memikirkan pelbagai perkara dan solat sambil mengingati urusan dunia. Ada juga yang menjadikan trend satu wuduk untuk dua fardu kerana malas untuk membuang solekan. Sedangkan ganjaran yang diperoleh apabila kita selalu berwuduk dan solat di awal waktu sangat besar. Bagi dia, yang penting, dia solat! 

Keistimewaan Mukmin dapat dilihat apabila dia sentiasa mengingati Allah SWT dalam setiap perkara. Mulutnya sentiasa bertasbih dan berzikir, masanya diisi dengan membaca al-Quran, alunan selawat dan istifgfar juga tidak pernah sunyi di bibirnya.

Meskipun, dia sibuk mencari rezeki dan melaksanakan tanggungjawab, dia tidak sabar untuk bertemu Sang Khaliq, dia segera solat saat masuk waktu malahan akan menunggu dengan penuh debar untuk menunaikan solat.

Solat ialah tempat temu janji terbaik untuk bertemu dengan Dia. Nabi Muhammad SAW juga bersabda, amalan yang paling afdhal ialah solat pada awal waktu. Seseorang itu akan sangat menghargai masa,janji dan sifat bertangguh akan beransur-ansur pergi daripada dirinya.

Seorang Mukmin tidak disangkal lagi ialah seorang Muslim, namun seorang Muslim belum tentu seorang Mukmin. Jadi, sebagai seorang Muslim marilah kita sentiasa berusaha untuk berubah menjadi Mukmin yang memelihara solatnya dan menanamkan keyakinan dalam mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya. Percayalah, saat kita mula berdiri, bertakbir dengan penuh ketakwaan, Allah SWT akan melimpahkan kasih sayang-Nya kepada kita. 

-------------------------
Artikel ini dipetik dan olahan daripada buku Solat Mukmin Vs Solat Muslim, tulisan Ustaz Muhammad Nasib bin Zawawi. Klik sini >>> BUKU SOLAT