Buat mereka yang telah berkahwin tetapi masih belum dikurniakan zuriat, di bawah adalah titipan perkongsian Ustazah Noor Laila Aniza binti Zakaria untuk kita ambil iktibar dalam menghadapi ujian Allah ini.

  1. Alhamdulillah, saya (penulis) ingin katakan; bersangka baiklah kepada Allah. Bersangka baiklah kepada Allah dan terus bersangka baiklah kepada Allah … Allah Maha Baik.

  2. Buatlah sujud syukur dan syukurlah kerana masih belum dikurniakan anak. Berapa ramai antara kita sanggup bersyukur apabila ‘tidak memiliki’ sedangkan kita kebiasaannya hanya akan bersyukur bersungguh- sungguh tatkala kita ‘memiliki’.

  3. Nabi pesan formula untuk ditambahkan nikmat adalah, “Bilamana kamu diberikan nikmat yang sedikit, kamu bersyukur, maka Allah akan tambahkan nikmat itu.”

  4. Mengapa Dia masih belum beri anak? Jangan membuat jawapan-jawapan sendiri. Tapi jawapannya hanya satu – KERANA DIA MAHA BAIK!

  5. Jangan fokus kenapa masih tak diberikan anak, tetapi fokuslah untuk hidup dalam sentiasa memuji Allah tanpa henti 24jam/7 hari/siang malam/seumur hidup.

  6. Belajar mengawal minda kita. Kurangkan semua perasaan sedih. Alihkan kepada semua realiti dalam hidup yang menggembirakan kita selama ini.

  7. Berlapang dada dan senyum selalu.
  1. Jadilah insan paling bahagia tanpa anak. Kerana itu kehendak Allah yang menciptakan kita. Siapa kita untuk melawan kehendak Allah?

  2. Atas segala usaha dan doa, Dia masih memilih kita untuk tidak dikurniakan anak. Sungguh DIA MAHA TAHU apa yang terbaik buat kita pada saat dan ketika ini.

  3. Usah kita bimbang dan risau hidup tanpa zuriat, atau putus keturunan.

  4. Usah merungut mengapa sampai sekarang belum dapat anak kerana itu bermakna kita bersungut dengan Allah.

  5. Untuk seorang isteri, berbahagialah kerana isteri-isteri Nabi juga tidak memberikan Rasulullah SAW anak kecuali Sayidatina Khadijah dan Mariah.

  6. Berjumpa doktor pakar dan ikut nasihat doktor bersungguh-sungguh bukan separuh jalan atau ala kadar.

  7. Jangan salah menyalahkan pasangan. Jika kita mahu hidup dengannya, teruskan dengan redha, hormati dan sayangi dia. Jika tidak mahu lagi bersama, kita berbincang dan cari jalan yang disepakati.

  8. Tinggalkan semua kemaksiatan dan bersiap sedia sentiasa kerana pada bila-bila masa sahaja kita akan menjadi ibu dan ayah.

    Nabi SAW bersabda: “Sungguh menakjubkan perkara orang yang beriman, kerana segala perkaranya adalah baik. Jika dia mendapatkan kenikmatan, dia bersyukur kerana (dia mengetahui) bahawa hal tersebut adalah memang baik baginya. Dan jika dia tertimpa musibah atau kesulitan, dia bersabar kerana (dia mengetahui) bahawa hal tersebut adalah baik baginya.” (Riwayat Muslim)

***
Petikan buku Tiket Syurga Seorang Isteri tulisan Ustazah Noor Laila Aniza binti Zakaria. Beliau ialah seorang pakar Motivasi Korporat & Kekeluargaan di IBS Excel Training & Consultancy.