Semasa turunnya wahyu Allah SWT kepada para Nabi dan Rasul-Nya untuk berdakwah kepada kaum-kaum mereka, tentangan yang diterima mereka sangat hebat dan dahsyat. Sehinggakan ada yang ingin menyakiti dan membunuh mereka.

Malah, tentangan dan pengkhianatan bukan sahaja datang daripada kaum musyrikin, tetapi ia datang juga dari kaum kerabat Nabi dan Rasul itu sendiri. Seperti isteri Nabi Lut a.s. yang bertindak mengingkari arahan Nabi Lut a.s. agar merahsiakan kedatangan tiga orang jejaka tampan yang bertandang ke rumah Nabi Lut a.s. daripada orang ramai kerana bimbang mereka akan mengganggu ketiga-tiga tetamu tersebut. Tindakan isteri Nabi Lut a.s. ini sangat keji kerana dia berani melanggar perintah Nabi Allah seterusnya dia juga menyokong perbuatan terkutuk Kaum Nabi Lut yang sering melakukan kejahatan di atas muka bumi ketika itu. Akibat daripada perbuatannya mengingkari perintah Allah SWT dan arahan Nabi Lut a.s., isteri Nabi Lut tergolong dalam orang munafik yang menerima azab yang ditimpa kepada kaum Nabi Lut a.s.

Diselitkan juga beberapa kisah Sahabat-sahabat Nabi dan juga kaum Muslimin pada zaman Rasulullah SAW yang melakukan kemungkaran sehinggakan mengundang kekecewaan Allah SWT dan Rasulullah SAW lalu mereka ditimpa balasan yang setimpal dengan perbuatan yang dilakukan. Kebanyakan kisah sahabat yang melakukan kemungkaran ini diakhiri dengan mereka mengaku kesalahan tersebut dan segera bertaubat, memohon keampunan daripada Allah SWT. Allah SWT menerima taubat mereka dan mereka berjanji dan bersumpah untuk tidak lagi mengulangi perkara yang sama. 

Siri Balasan Tuhan mengumpulkan cerita-cerita balasan Allah yang maha hebat kepada kaum yang memungkiri Nabi dan Rasul utusan-Nya dan mengingkari agama Islam. Azab dan balasan yang diturunkan kepada kaum-kaum yang mengingkari Allah SWT dan menyakiti utusan-Nya adalah satu bentuk peringatan dan pengajaran kepada kita bahawa setiap kejahatan dan dosa yang kita lakukan di atas muka bumi ini ada balasan yang menanti. 

Manakala, perasaan kesal dan bersalah yang membuak-buak dihadirkan ke dalam diri Sahabat-sahabat Nabi SAW sebaik sahaja mereka sedar kemungkaran yang mereka lakukan akan mengundang kekecewaan Nabi SAW dan Allah SWT. Mereka terus bertaubat, mengaku kesalahan yang dilakukan dan memohon keampunan. Sebesar mana pun dosa kita buat, sejahat-jahat macam mana pun kita di atas muka bumi ini, kalau kita berpaling semula kepada jalan yang benar dan memohon ampun kepada Allah SWT, nescaya Allah Maha Pemurah dan Pengasih, yang lagi Maha Pengampun akan menerima taubat kita. 

Kaum-kaum dan orang-orang munafik yang disebut dalam buku-buku ini, jikalau mereka segera bertaubat dan patuh pada seruan Allah dan Nabi dan Rasul-Nya, nescaya taubat mereka diterima dan mendapat tempat di syurga.

Siri balasan tuhan ini mampu menerbitkan rasa keinsafan dalam diri dan takjub dengan balasan yang ditimpa Allah SWT kepada mereka-mereka yang gemar melakukan kemungkaran. Moga dengan membaca buku bersiri ini, keinsafan yang hadir dalam diri mendorong kita untuk memperbaiki ibadah dan mempertingkatkan iman kita agar sentiasa berada dalam keredhaan dan keberkataan Allah SWT.