Selalu kita nampak buku-buku yang menceritakan dan menerangkan tentang Tauhid ini di rak-rak dewasa. Kalau ibu bapa nak terangkan apa itu Tauhid dan sifat 20 Allah dalam bahasa yang mudah untuk anak-anak mereka faham pun, kadang-kadang terkial-kial sebab khuatir bahasa yang kita nak sampaikan susah untuk anak-anak faham. Di sekolah agama, Alhamdulillah, ustaz dan ustazah pandai menarik minat anak-anak untuk fokus dan tekun belajar tentang Tauhid, tapi di rumah? Buku apa yang boleh bagi mereka baca? Buku apa yang sesuai untuk anak-anak faham dengan lebih dalam apa itu konsep Tauhid?

Sebelum itu, apa itu sifat 20? Kenapa ianya wajib bagi Allah SWT? Allah SWT adalah Maha Pencipta yang menciptakan seluruh alam dari sebesar-besar planet sehingga sekecil-kecil zahrah. Allah SWT tidak sama dengan makhluk yang diciptaNya dan zat Allah SWT berbeza dengan zat-zat manusia. Sifat wajib bagi Allah SWT ada 20 iaitu: 

  1. Ada
  2. Sedia Ada
  3. Kekal
  4. Berbeza dengan semua makhluk ciptaan-Nya
  5. Berdiri-Nya dengan sendiri
  6. Esa Allah SWT pada zat, pada sifat, dan pada perbuatan
  7. Berkuasa
  8. Berkehendak menentukan
  9. Mengetahui
  10. Hidup
  11. Mendengar
  12. Melihat 
  13. Berkata-kata
  14. KeadaanNya yang berkuasa
  15. Keadaan-Nya yang berkehendak menentukan
  16. Keadaan-Nya yang mengetahui
  17. Keadaan-Nya yang hidup
  18. Keadaan-Nya yang mendengar
  19. Keadaan-Nya yang melihat
  20. Keadaan-Nya yang berkata-kata

Kenal Allah Dengan Kisah-kisah Indah adalah sebuah buku yang diterbitkan untuk memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai 20 Sifat wajib bagi Allah SWT. Ditulis dan diolah dalam bahasa yang mudah untuk difahami, buku ini bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, malah semua peringkat umur juga boleh membaca dan belajar dari buku ini. 

Setiap kisah yang digunakan dalam buku ini dikaitkan dengan Sifat 20 Allah SWT. Kisah yang diceritakan adalah cerita pendek tetapi padat dengan ilmu untuk kita ambil dan pelajari. Ia membantu kita untuk berfikir sekaligus mengundang rasa takjub kepada kehebatan dan kekuasaan Allah SWT yang tiada tandingnya. 

Semua cerita diselitkan penerangan atau iktibar dan disandarkan dalil-dalil al-Qur’an untuk membantu para pembaca memahami kisah dan mesej dan ilmu yang hendak disampaikan. Jadi, apabila kita baca sesuatu kisah di dalam buku ini, contohnya, Anak-anak Semut Di Atas Kertas, menceritakan tentang anak-anak semut yang pertama kali melihat tulisan di atas kertas dan bersama-sama mengandaikan bahawa tulisan dan dakwat di atas kertas itu bergerak dengan sendirinya. Tetapi bapa semut menerangkan bahawa bukan pen mahupun dakwat itu bergerak sendiri tetapi kudrat yang ada pada tangan itulah yang mampu menggerakkan pen tersebut di atas kertas. Jadi kita dapat faham perkaitan kudrat pada tangan dan kekuasaan Allah SWT yang Maha Berkuasa memerintah alam semesta ini. Tanpa kekuasaan Allah Taala, alam semesta ini tidak akan dapat tersergam dengan indahnya.

Kata penulis, “Konsep penceritaan yang diolah Rumi menjadikan konsep berat sufi terasa ringan buat orang ramai.” Tauhid ini berat dan memerlukan kecekalan diri yang tinggi untuk mendalami ilmu Tauhid, tetapi, dengan cerita-cerita ringkas yang diambil dan disusun daripada kitab-kitab ulama’ Islam, penulis berharap agar orang ramai tidak kira para ulama’ mahupun orang awam dan kanak-kanak, dapat jadikan cerita yang dikongsikan ini pedoman hidup dan juga menjadi benih akidah untuk ditanam dalam diri kita sehingga tumbuh tinggi ke tahap ijmali.