Naskhah ini memuatkan 40 kata-kata hikmah berupa nasihat daripada Syeikh Muhd Zainul Asri Haji Muhd Romli yang dikumpulkan oleh anak beliau Ustaz Syamil Muhd Zainul Asri. Ibu bapa merupakan cerminan kepada anak-anak dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk anak-anak ke arah yang diredhai Allah SWT. Ilmu juga memainkan peranan yang penting untuk membina keluarga sakinah, mawaddah warahmah. 

Istimewanya naskhah ini, setiap kata-kata disertai dengan potongan ayat Al-Quran dan hadis Nabi. Setiap kata-kata yang dipetik dimulai dengan ‘Berkata walidku yang soleh’ dan ini merupakan satu ayat yang indah dan sopan yang telah digunakan oleh penulis. Buku ini menggunakan  ilustrasi yang cantik dengan pemilihan gambar-gambar yang bersesuaian dengan kata-kata yang ingin disampaikan.

Mutiara hikmah yang disampaikan dalam naskhah ini berbentuk nasihat untuk semua umat Islam di mana pembaca akan rasa terpujuk dengan kata-kata lembut daripada Syeikh Muhd Zainul Asri, sekaligus dapat membuatkan pembaca berfikir sejenak serta memberikan inspirasi untuk mengaitkan sesuatu topik itu dari perspektif Islam. Nasihat yang disampaikan menyentuh pelbagai aspek kehidupan seperti hubungan dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia, galakan beramal soleh dan menjaga kebersihan hati.

Secara keseluruhannya, buku ini sangat menarik dan digarap baik dengan berilmiah berserta rujukan yang sahih dan reka bentuk yang cantik. Akhir kata, memetik salah satu mutiara hikmah dari naskhah ini, “Tidak ada orang yang jadi baik dalam waktu sehari semalam. Kita perlu berusaha untuk menjadi baik. Untuk menjadi baik adalah satu perjuangan. Orang yang berasa dirinya tidak sempurna aka selalu berusaha untuk menjadi baik.”