Acap kali kita mendengar dan membaca kisah-kisah sirah Nabi dan Rasul, buku-buku di kedai juga banyak menerbitkan buku cerita para Nabi dan Rasul. Di sekolah juga banyak menekankan kisah-kisah sirah bagi kita terasa dekat dengan mereka semua. Ada juga diselitkan kisah para Sahabat Nabi untuk kita kenal siapa yang berjuang di sisi Nabi Muhammad SAW dalam perjuangan menegakkan agama Islam.

Dalam siri Kisah Tauladan yang mempunyai 3 judul ini memaparkan kisah-kisah 10 Sahabat yang dijanjikan syurga dan juga para pejuang Islam yang jarang kita dengarkan kisahnya diceritakan. The Avengers di Zaman Rasulullah merekodkan kisah hebat dan menakjubkan para pejuang dalam medan perang bersama Nabi Muhammad SAW, semangat perjuangan Islam yang utuh dalam diri mereka menjadi pembakar bagi mereka untuk menghadapi liku dan ranjau perjuangan yang memerlukan keberanian dan ketangkasan yang tiada tolok bandingnya. Jadi siapa para pejuang yang digelar The Avengers di Zaman Rasulullah ini? Salah satunya, Sayidina Umar Al-Khattab yang terkenal dengan kekuatannya dan sikapnya yang berani. Ketika beliau masih belum bergelar seorang Muslim, Umar Al-Khattab digeruni penduduk Makkah, tiada seorang pun yang berani melawannya. Beliau adalah salah seorang penduduk Makkah yang sangat menentang dakwah Islam. Tetapi sebaik sahaja beliau memeluk Islam, kekuatan dan keberaniannya digunakan ke arah jalan Islam, orang-orang musyrikin tidak berani untuk menentang beliau dan mereka semakin takut untuk menyakiti Nabi Muhammad SAW kerana Sayidina Umar Al-Khattab sentiasa melindungi Baginda.

Jejaka Limited Zaman Rasulullah pula mengongsikan kisah-kisah sama mengenai perjuangan para Sahabat dalam memperjuangkan agama Islam. Kisah ini dibukukan dengan satu tujuan sahaja, agar para pembaca dapat mengambil iktibar dari kisah Sahabat sekaligus memuliakan dan mencintai mereka sebagaimana Nabi Muhammad SAW memuliakan mereka. Salah seorang Sahabat yang Nabi Muhammad SAW sangat kasih dan sayang adalah Bilal bin Rabah r.a.. Beliau merupakan muazzin pertama dalam Islam. Derap tapak kakinya didengari di samping Nabi Muhammad SAW di syurga. Ini menunjukkan bahawa Bilal bin Rabah r.a. ini sangat dimuliakan dan disayangi Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Iman di dalam diri Bilal dan semangat perjuangannya ke jalan Islam sangatlah hebat sehinggakan seksaan yang dikenakan oleh tuannya semasa dia masih seorang hamba tidak mampu dipatahkan. Malah, ia menguatkan lagi iman beliau dan terus percaya bahawa Allah SWT akan mengurniakan pertolongan kepadanya. Dan akhirnya, beliau dimerdekakan dan bersama-sama Nabi Muhammad SAW berjuang ke jalan Allah. 

Tapi, dalam dakwah Islam dan perjuangan ke jalan Allah yang dibawa Nabi Muhammad SAW ini para jejaka sahajakah yang disanjung dan disebut-disebut? Tidak juga. Supergirl Zaman Rasulullah mengumpulkan kisah-kisah srikandi yang berani dan lantang menentang kaum musyrikin dan menegakkan syiar Islam ketika Rasulullah SAW giat berdakwah. Para wanita hebat ini ada yang tergolong dalam orang yang terawal memeluk agama Islam dan membenarkan kenabian Nabi Muhammad SAW, ada juga yang menyertai Rasulullah di medan peperangan. Keberanian dan kekuatan Supergirl Zaman Rasulullah ini tidak dapat disangkal apabila Sayidatina Safiah binti Abdul Muthalib menghunuskan pedangnya di medan perang dan membunuh para musyrikin demi melindungi Nabi Muhammad SAW daripada serangan musuh. Beliau digelar penghulu kaum wanita atas ketabahan dan keberanian beliau dalam medan jihad, tidak lupa juga beliau yang melahirkan seorang pahlawan besar dalam kalangan Muslimin pertama yang menganggotai angkatan berkuda dan berperang mempertahankan agama Allah. Sesungguhnya, kisah-kisah srikandi yang dipaparkan dalam buku ini mampu menerbitkan rasa hormat dan kagum dengan kaum wanita pada zaman Rasulullah. Jarang sekali kita dengar kisah-kisah para pejuang wanita diceritakan tetapi dalam buku ini, kita dapat tahu bahawa banyak sumbangan yang para wanita di zaman Rasulullah berikan dalam membantu Nabi Muhammad SAW berdakwah kepada orang ramai, tidak kira dalam bentuk harta, tenaga, mahupun nyawa mereka. Dengan pengorbanan mereka ini, syurga yang tertinggi adalah untuk mereka.

Siri Kisah Tauladan ini diterbitkan dengan tujuan untuk memberi pengajaran dan iktibar kepada para pembaca, tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa. Kisah-kisah ini dikongsikan agar tersematnya dalam hati kita untuk memperjuangkan agama Islam seperti Sahabat-sahabat Nabi SAW yang disebutkan dalam ketiga-tiga buku ini. Ia mungkin sukar, mungkin di luar kemampuan kita dan keimanan kita tidak setanding dengan Sahabat, tetapi kita boleh jadikan cerita mereka ini sebagai pembakar semangat untuk menjadi seorang Muslim yang terbaik dan sentiasa diredhai dan diberkati Allah SWT.