Berapa banyak kisah mukjizat Nabi Muhammad SAW yang kita tahu? Kalau anak-anak kita bertanya, apa itu mukjizat dan contoh-contoh mukjizat, berapa banyak yang kita boleh cerita kepada mereka?

Tapi, apa itu mukjizat? Mukjizat adalah peristiwa luar biasa yang dianugerahkan Allah kepada para Nabi dan Rasul-Nya. Mukjizat terbahagi kepada dua iaitu mukjizat Ma’nawi dan mukjizat Hissi. Mukjizat Ma’nawi ialah mukjizat yang dapat dihayati dan dikesan oleh minda dan hati, iaitu, Al-Qur’an. Mukjizat Hissi pula mukjizat yang dapat dikesan dan dilihat dengan pancaindera manusia. Sebagai contoh, tongkat Nabi Musa a.s. bertukar menjadi ular dan Nabi Muhammad SAW membelah bulan kepada dua dan disaksikan oleh Raja Habib.

Sebenarnya, banyak lagi mukjizat Nabi Muhammad SAW yang kita tidak ketahui. Jika kita mendalami Al-Quran dengan lebih mendalam, kita akan jumpa kisah-kisah mukjizat yang jarang kita jumpa dalam buku-buku sirah Nabi.

Kisah mukjizat yang sering kita dengar ialah mukjizat Al-Quran yang Allah wahyukan kepada Baginda, bulan terbelah dua, air yang keluar dari celah-celah jari Nabi Muhammad SAW, dan peristiwa Israk Mikraj. Tapi tahukah kita, sejak bayi lagi, Nabi Muhammad SAW sudah pun dikurniakan mukjizat luar biasa. 

Dalam buku Siri Mukjizat ini, dikongsikan kisah mukjizat yang biasa kita dengar dan juga sebahagian mukjizat Nabi Muhammad SAW yang kita anggap kecil sahaja tapi sebenarnya, ia adalah mukjizat anugerah Allah SWT kepada Baginda yang mampu mengubah kehidupan seseorang pada zaman tersebut.

Berkat Bayi Yatim dan Secret Plan Yang Terbongkar mengumpulkan kisah-kisah mukjizat kurniaan Allah SWT kepada kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW. Siri Mukjizat ini ditulis dan diolah dengan bahasa yang mudah dan senang difahami oleh kanak-kanak sekaligus mampu menerbitkan rasa cinta dalam jiwa mereka kepada Nabi Muhammad SAW dan kagum dengan kekuasaan Allah SWT. Kisah-kisah dalam buku ini memaparkan betapa besarnya kasih Allah kepada Nabi Muhammad SAW sehingga kita sendiri yang membacanya dapat merasakan kasih Allah kepada Baginda.