Buku Hospital Tarbiah ditulis oleh Dr. Nur Hanisah merupakan buku yang diilhamkan daripada pengalaman penulis sendiri yang bekerja sebagai seorang doktor di sebuah hospital di negeri Kelantan. Buku ini merangkumi cerita-cerita sepanjang merawat pesakit dan pelbagai jenis penyakit yang dikendalikan. Kisah-kisah yang diceritakan sangat menyentuh hati dan menginsafkan.

Menariknya, buku ini memuatkan lebih 50 tajuk dengan cerita-cerita yang ringkas yang dikupas berdasarkan kisah benar yang dialami penulis. Beliau selalu menekankan perihal solat di dalam penulisannya, dimana beliau sering menasihati pesakit-pesakitnya untuk mendirikan solat walau apa jua keadaan terutamanya ketika sakit. Apabila kita berjumpa dengan ramai manusia barulah kita belajar untuk menahan sabar menghadap karenah dan perangai orang yang pelbagai.

Sebenarnya, apabila diberikan sakit Allah ingin melihat sejauh mana hubungan kita dengan Allah sama ada membuatkan kita semakin jauh atau dekat. Jika harini Allah berikan rasa sakit maka bersabarlah kerana sakit itu penghapus dosa dan hakikatnya datangnya sebuah penyakit itu sendiri untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Dr. Hanisah membuatkan kita untuk selalu refleksi diri dan membuatkan kita lebih mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan selama ini. Kisah-kisah pesakit yang dibawakan di dalam buku ini menjentik hati untuk lebih dekat pada Allah daripada orang yang diuji dengan sakit. 

Buku ini memaparkan gambar rajah cantik dan kreatif yang akan membuatkan kita lebih tertarik untuk membaca ditambah dengan dialog menggunakan dialek Kelantan membuatkan kisah yang dikongsikan lebih seronok dan pelbagai. Buku ini sangat disyorkan pada semua peringkat umur untuk bacaan santai dan motivasi diri yang dekat di hati pembaca.