‘Sejauh mana kau berlari, kau akan tetap kembali kepada-Nya’. Saat kita menghadapi ujian atau kesusahan, sebagai hamba kita seharusnya menjadikan Allah sebagai tempat pertama untuk kita bergantung dan bersandar sepenuhnya. Percayalah, setiap ujian yang diberikan sesuai dengan kemampuan kita. Kita selalu merasakan kesusahan itu menjadikan kita lemah, tetapi sebenarnya satu demi satu ujian akan menjadikan kita kuat dan matang. 

Buku karya thebingkisan hati ini mengumpulkan pesanan dan coretan yang penuh dengan puisi dan kata-kata mutiara serta beberapa kisah pengalaman hidup agar penulis lebih dekat dengan pembaca.

Coretan ini mengandungi 21 bab, yang mana pada setiap bab dan ruangan yang terbatas ini penulis cuba membincangkan beberapa episod kehidupan yang penuh dengan ujian dan pengalaman yang dihadapinya. Antaranya, tentang takdir, kesakitan, persahabatan, jodoh, hijrah dan pelbagai lagi ujian.

Reka bentuk grafik buku ini sangat unik dengan ilustrasi yang kreatif sesuai bagi remaja dan dewasa yang dahagakan motivasi serta nasihat tentang kehidupan. Bacaan yang santai, namun penuh dengan ilmu yang tidak ternilai harganya. Kata-kata mutiara atau petikan yang indah dinukilkan  dengan baik dan cantik sehingga menyentuh hati pembaca. 

Secara keseluruhannya, buku Allah Kan Ada merupakan hasil tulisan yang baik dan efektif kerana mempunyai unsur-unsur keislaman dan pedoman kepada para pembaca dalam melakukan apa jua perbuatan.